Nabi Musa diutuskan oleh Allah bagi memimpin Bani Israel ke jalan benar. Baginda merupakan anak kepada Imran dan Yukabad dan dilahirkan di Mesir pada pemerintahan Firaun yang kejam dan zalim.

Sewaktu kelahirannya, Firaun mengarahkan supaya setiap bayi lelaki dibunuh. Tindakan itu diambil kerana dia terpengaruh dengan ahli nujum yang menafsirkan mimpinya bahawa kuasa negara itu akan jatuh ke tangan lelaki Bani Israel.

Ibu Nabi Musa, Yukabad melahirkan Nabi Musa dan kelahiran itu dirahsiakan. Kerana bimbangkan keselamatan Nabi Musa, baginda dihanyutkan ke Sungai Nil apabila mencecah umur tiga bulan. Nabi Musa terapung di sungai itu dan ditemui isteri Firaun, Asiah lalu dibawa pulang ke istana. Melihat isterinya membawa seorang bayi lelaki, Firaun terus menghunuskan pedang untuk membunuh Nabi Musa tetapi dihalang Asiah.

Ibu Nabi Musa datang ke istana Firaun untuk berkhidmat sebagai pengasuh dan Nabi Musa diasuh oleh ibunya sendiri di dalam istana Firaun.

Suatu hari, berlaku peristiwa yang menyebabkan Nabi Musa membunuh seseorang dengan tidak sengaja. Berita ini akhirnya tersebar dan kaum Firaun berpakat membunuh Nabi Musa.

Nabi Musa mengambil keputusan keluar dari Mesir. Beliau berjalan tanpa arah dan tujuan sehingga sampai di kota Madyan, iaitu kota Nabi Syu’aib. Di sana baginda bekerja dengan Nabi Syu’aib dan dikahwinkan dengan anak Nabi Syu’aib yang bernama Shafura.

Nabi Musa menerima wahyu dan diperintahkan agar menyampaikan dakwah kepada Firaun. Baginda dianugerahkan mukjizat tongkat yang boleh bertukar menjadi ular dan tangan yang putih bersinar. Firaun mengadakan perlawanan sihir bagi mengalahkan mukjizat Nabi Musa. Kemenangan berpihak kepada Nabi Musa dan ahli sihir beriman dengan ajaran Nabi Musa.

Firaun marah lalu menghukum semua yang beriman kepada ajaran Nabi Musa. Nabi Musa bersama orang beriman terpaksa melarikan diri sehingga mereka sampai di Laut Merah. Laut terbelah sebagai mukjizat Nabi Musa. Akhirnya Nabi Musa dan pengikutnya selamat manakala Firaun dan tenteranya mati ditenggelamkan laut.

Selepas keluar dari Mesir, Nabi Musa berpuasa selama 40 hari dan bermunajat di Bukit Sina. Sekembalinya Nabi Musa kepada kaumnya, baginda terkejut mendapati mereka telah menyembah anak sapi yang diperbuat daripada emas. Ini membuatkan Nabi Musa marah dan bersedih hati. Baginda berdoa kepada Allah supaya dipisahkan dari orang fasik yang mengingkari nikmat dan kurnia Allah.

0 comments to “Nabi Musa A.S.”

Leave a Reply: